Diterbitkan pada 14 Februari 2023, 19:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merafakkan sembah menjunjung kasih atas Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sempena pembukaan penggal kedua, Parlimen ke-15 pada 13 Februari 2023 yang turut menyentuh beberapa perkara yang melibatkan bidang pendidikan

Seiring dengan keperluan kini dan masa hadapan pendidikan, KPM akan menerajui Dasar Pendidikan Digital (DPD) bagi menyambut agenda pendidikan digital negara. KPM juga komited untuk memastikan prasarana dan infrastruktur institusi pendidikan di bawah KPM sentiasa berada dalam keadaan selamat dan kondusif melalui projek menaik taraf atau penggantian blok bangunan sekolah daif.

Dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET), KPM akan terus memperkasakan aspek tersebut bagi melahirkan graduan TVET yang memenuhi keperluan industri dan negara menerusi pendekatan usaha sama antara pihak awam dan swasta. Dalam usaha meningkatkan lagi tahap keselamatan dan kesejahteraan murid di sekolah, KPM juga telah memperkasakan penggunaan Modul Intervensi Jenayah Seksual Kanak-kanak di Sekolah (IHSAN), selain membuat penelitian dan semakan yang berkaitan dengan peraturan-peraturan disiplin murid agar lebih komprehensif.

Dalam hal ini, KPM berikrar akan terus berusaha untuk memastikan seruan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dilaksanakan demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia khususnya dalam bidang pendidikan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi