Diterbitkan pada 13 Februari 2023, 13:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merujuk laporan media berhubung dengan kenyataan oleh Perdana Menteri (PM), YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai keseriusan kerajaan dalam menangani isu sekolah daif.

Oleh itu, KPM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri atas keprihatinan beliau dalam isu tersebut. Dalam tujuh aspirasi KPM sebelum ini, agenda yang berkaitan dengan pembangunan sekolah daif ini telah diberikan perhatian, maka pengumuman Perdana Menteri tersebut adalah selaras dengan hasrat KPM untuk mengutamakan isu ini di seluruh negara.

KPM juga telah mengenal pasti bangunan-bangunan daif melalui analisis skor gred impak untuk keutamaan pelaksanaan projek ini. Berdasarkan pada skor tersebut, KPM memberikan keutamaan untuk melaksanakan projek penggantian kepada blok bangunan di sekolah yang berada pada skala 6 dan skala 7.

Sehingga 31 Januari 2023 lalu, sebanyak 830 buah sekolah mempunyai blok bangunan yang berada pada skala 6 dan skala 7 yang memerlukan penggantian atau pembangunan semula. Bilangan bangunan daif ini adalah dinamik selaras dengan penyelesaian pelaksanaan pembangunan semula dan penerimaan untuk mengesyorkan tahap keselamatan bangunan oleh agensi teknikal. Projek yang diangkat untuk kelulusan pelaksanaan tersebut terdiri daripada senarai sekolah yang mempunyai bangunan daif pada skala 6 dan skala 7. KPM juga sentiasa komited dalam menyediakan infrastruktur pendidikan yang selamat dan kondusif untuk kegunaan murid serta warga sekolah di seluruh negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi