Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPauh Putra – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyumbangkan sebanyak RM20 000 bagi membantu mengukuhkan dana Pusat Autisme (A-Heart) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) supaya dapat beroperasi dengan lebih baik.
Penyerahan tersebut diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs kepada Naib Canselor UniMAP, Profesor Datuk Dr. Zaliman Sauli dan Pengerusi PISKANITA UniMAP Datin Azliza Ahmad sempena Majlis Santapan Hi-Tea Amal ‘Limpahan Kasih’ yang dianjurkan oleh Persatuan Isteri Dan Kakitangan Wanita UniMAP (PISKANITA) bersama-sama A-Heart UniMAP di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra.
Berkenan berangkat ke majlis berkenaan ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniMAP dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pro Canselor UniMAP.
Sumbangan berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif MAIPs dalam usaha untuk bersama-sama membantu menjayakan inisiatif pendidikan dan dakwah melalui sumbangan kepada pusat-pusat kebajikan dan pendidikan.
Menurut MAIPs, beberapa inisiatif yang berkaitan dengan pendidikan kepada golongan berkeperluan telah disalurkan MAIPs melalui kerjasama pelbagai pihak berstrategik seperti Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Jabatan Mufti Negeri Perlis, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis, Majlis Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis, Institusi-Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) MAIPs dan pelbagai pihak berkepentingan yang lain.
Pada masa yang sama, MAIPs turut bekerjasama sebagai Rakan Sokongan bagi penubuhan Pusat Genius Kurnia Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Negeri Perlis dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis sebagai Rakan Strategik.