Diterbitkan pada 27 Januari 2023, 19:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan bahawa terdapat isu gangguan capaian terhadap beberapa aplikasi utama KPM, iaitu Sistem Bersepadu KPM (MOEIS) dan Sistem Pengurusan Identiti (idMe) yang merupakan sistem Daftar Diri Tunggal (Single Sign On (SSO)) bagi setiap pengguna aplikasi KPM.

Gangguan capaian sistem telah mula dikesan pada 15 Januari 2023 disebabkan oleh trafik capaian yang amat tinggi daripada pengguna sistem, iaitu para guru yang sedang melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) secara dalam talian. KPM telah mengambil tindakan pemulihan interim pada pangkalan data serta sistem aplikasi terlibat dan telah dapat mengatasi salah satu isu yang telah dikenal pasti, iaitu konflik capaian di antara idMe dengan modul aplikasi MOEIS pada 16 Januari 2023.

Namun begitu, gangguan capaian kepada sistem dikesan berlaku semula secara tenggelam timbul (intermittent) pada 19 Januari 2023. Oleh itu, tindakan penambahbaikan pada peringkat rangka kerja (framework) pangkalan data dan pengaturcaraan aplikasi telah dilaksanakan bagi meningkatkan kestabilan capaian.

Sehingga hari ini, prestasi capaian didapati semakin baik, namun masih belum pulih sepenuhnya. Pemantauan prestasi capaian sistem dan tindakan pemulihan diteruskan secara rapat dan segera bagi memastikan isu gangguan capaian dapat diatasi secara menyeluruh. Para guru juga mempunyai tempoh sehingga 10 Mac 2023 untuk melaksanakan aktiviti perekodan dan pelaporan PBD sebagaimana yang termaktub dalam Jadual Kerja PBD Akhir Sesi Akademik 2022/2023.

Sebagai pemakluman, KPM memahami kesulitan yang dihadapi oleh para guru dan memohon maaf atas masalah tersebut serta akan memastikan supaya prestasi capaian aplikasi KPM berada pada tahap yang cemerlang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi