Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kangar – “Inovasi telah menukar cara hidup masyarakat kini dan menjadikan kehidupan manusia lebih mencabar dan berdaya saing.”
Menurut Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, pembangunan inovasi dan kreativiti juga telah menjadikan beberapa buah negara semakin menonjol seperti Korea Selatan dan Finland.
Maka demikian, baginda menyeru semua rakyat, terutamanya anak muda agar bergerak ke hadapan dan bersiap siaga melengkapkan diri dengan menjadikan inovasi dan kreativiti sebagai hala tuju baharu.

Demikianlah titah Raja Muda Perlis Tuanku selepas berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bernilai RM96 600 secara tunai kepada 138 orang penerima dalam kalangan anak kariah Kampung Baroh dan Kampung Santan dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Al-Saadah, Kampung Baroh.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut bertitah, “Transisi global dengan teknologi telekomunikasi dan Internet menuntut banyak cabaran supaya golongan pelajar sentiasa cakna dengan perkembangan pendidikan. Oleh itu, golongan pelajar perlu memanfaatkan sumber dalam talian serta pantas mempelajari aplikasi terkini bagi mengikuti pengajian dengan lebih efektif.”