Diterbitkan pada 10 Januari 2023, 13:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching – Pada 9 Januari 2023, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) mengadakan Perhimpunan Bulanan Bil.1/2023 dan Majlis Penghargaan Staf DBP Cawangan Sarawak. Majlis telah dihadiri oleh Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBPCS, Ja’afar Haji Hamdan, Timbalan Pengarah, Pengurusan DBPCS dan staf-staf DBPCS.

Dalam ucapan alu-aluan, Pengarah DBPCS menyampaikan amanat tahun baharu dan mengingatkan supaya setiap pekerja perlu mengekalkan tahap disiplin diri yang tinggi, selain menepati masa dan memberikan komitmen yang penuh. Beliau turut berharap agar staf DBPCS dapat memperkukuhkan hubungan baik dalam kalangan staf, sekali gus menjaga nama baik organisasi.

Penglibatan dalam kegiatan kebahasaan dan sastera yang dianjurkan oleh organisasi wajar digiatkan kerana selaras dengan usaha memartabatkan imej DBP. Dalam majlis tersebut juga diadakan majlis penyampaian sijil Anugerah Pekerja Sihat yang telah disampaikan kepada staf DBP Cawangan Sarawak yang tidak pernah mengambil cuti sakit sepanjang tahun 2022.

Menurut Pengarah DBPCS, penganjuran majlis sebegini diadakan bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara sesama staf dan memberikan penghargaan kepada mereka yang telah menunjukkan komitmen dan dedikasi yang tinggi sepanjang menggalaskan tugasan pada tahun 2022.

Di samping itu, majlis penyampaian Anugerah Pencapaian Pekerja Sepanjang Tahun 2022 turut diadakan kepada staf yang telah bergiat aktif dalam aktiviti kebahasaan dan sastera serta staf yang telah menerima pengiktirafan dan penghargaan dari agensi luar atas kejayaan dan sumbangan kepada organisasi.

Encik Othman Anyan, Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah  Malaysia Sarawak.

Dalam perkembangan yang sama, sesi ceramah turut diadakan bagi memperkukuhkan nilai integriti dan kebertanggungjawaban dalam urusan harian. Ceramah yang bertajuk Konflik Kepentingan: Cegah Amalan Rasuah telah disampaikan oleh Encik Othman Anyan, Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah  Malaysia Sarawak.

Objektif ceramah ini bertujuan untuk memberikan kesedaran dan pengetahuan kepada warga DBPCS tentang keburukan dan kesan jenayah rasuah. Diharap program seperti ini dapat memberikan manfaat dan sebagai panduan kepada staf dalam menjalankan tugasan sepanjang tahun.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi