Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Pontian – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja dan Bahagian Pendidikan Menengah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan kerjasama Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) menganjurkan Pertandingan Debat MRSM Se-Malaysia yang mempertandingkan 51 buah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Se-Malaysia bagi merebut Juara Pertandingan Debat MRSM Se-Malaysia.
Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Tuan Haji Abd Manab Abdul Majid dalam ucapan semasa perasmian Majlis Penutupan Pertandingan Debat MRSM Se-Malaysia menegaskan bahawa semua pihak perlu memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul, terutamanya dalam kalangan pelajar. Dengan kaedah ini, semangat cinta akan negara dapat ditingkatkan dan melahirkan generasi berilmu.
Pertandingan debat ini merupakan langkah yang boleh membawa pelajar kepada pemikiran yang kritis yang mampu membantu negara melahirkan pemimpin yang bijak berhujah bagi menyelesaikan masalah rakyat.
Menurut penganjur, pertandingan ini bertujuan untuk memberikan ruang dan peluang kepada peserta yang terdiri dalam kalangan pelajar MRSM untuk menyampaikan idea bagi isu yang diperdebatkan dengan jelas dan bernas dalam bahasa Melayu dengan baik dan betul. Selain itu, pertandingan ini dapat meningkatkan kefahaman dan kesedaran yang meluas mengenai isu semasa dalam pelbagai aspek sama ada pada peringkat serantau mahupun sejagat menerusi penguasaan ilmu terkini.
Pertandingan ini juga mendidik peserta untuk berkomunikasi dan menyampaikan huraian berserta bukti terhadap hujah yang disampaikan.
Dengan membawa tema “Debat Perintis Generasi Berilmu”, juara bagi kategori bahasa Melayu pada kali ini berjaya disandang oleh MRSM Tun Ghafar Baba yang menerima hadiah berupa wang tunai RM2700 berserta sijil dan buku terbitan DBP. Bagi tempat kedua, dimenangi oleh MRSM Taiping, manakala bagi kategori pasukan, MRSM Sultan Azlan Shah dan MRSM Parit, Perak berjaya memasuki peringkat separuh akhir.
Turut hadir bersama-sama dalam majlis perasmian penutupan ini ialah Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP.