Diterbitkan pada 22 November 2022, 13:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pauh Putera – “Jadilah pemimpin yang adil dan berintegriti. Graduan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hendaklah menjadi golongan yang jujur dan sentiasa berpegang kepada nilai integriti kerana kepimpinan yang adil tanpa mengabaikan nilai integriti mendorong orang lain untuk menghormati prinsip kepimpinan seseorang itu.”

DYTM Raja Muda Perlis berkenan menyempurnakan Istiadat Konvokesyen 16 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Sidang Ketujuh.

Demikian titah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berangkat menyempurnakan Istiadat Konvokesyen 16 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Sidang Ketujuh di Dewan Ilmu Kampus Alam UniMAP, Pauh Putera, pagi tadi.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Naib Canselor Prof. Dato’ Ts. Dr. Zaliman Sauli.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut mengingatkan semua bahawa pemimpin yang disayangi ialah pemimpin yang memimpin dengan nilai kasih sayang, teladan dan bertoleransi. Oleh itu, sentiasalah menyelami hati dan situasi pekerja bawahan masing-masing kerana tanpa mereka seseorang pemimpin itu tidak mudah untuk berada di kemuncak kerjaya atau organisasinya.

Para graduan pada Istiadat Konvokesyen 16 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Sidang Ketujuh.

Pada majlis tersebut, DYTM Tuanku Raja Muda berkenan menganugerahkan ijazah kepada seramai 398 orang graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Bahan, Kejuruteraan Bioproses, Kejuruteraan Polimer, Kejuruteraan Metalurgi, Kejuruteraan Biosistem dan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia Teknologi Makanan, Proses Kimia Industri serta Bioteknologi Industri.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi