Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMuar – Ratusan penyokong Perikatan Nasional (PN) melaungkan panggilan “abah” yang merujuk Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaik-baik sahaja beliau diumumkan menang di Parlimen Pagoh dengan majoriti selesa selepas pengumuman dilakukan oleh pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam. Selain sorakan “abah”, laungan “Perikatan Nasional” turut dilakukan oleh penyokongnya selepas pemimpin tertinggi parti itu menang dengan majoriti besar sebanyak 10 007 undi apabila meraih undi keseluruhan sebanyak 24 986 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menewaskan Datuk Seri Razali Ibrahim (BN) yang memperoleh 14 426 undi, dan calon PH, Iskandar Shah Abd Rahman yang meraih 14 979 undi.
Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) telah mempertahankan kerusi Pagoh melebihi lima penggal, selain pernah memenangi kerusi itu atas tiket BN sebelum ini. Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bahawa Kerajaan Persekutuan dijangka dapat dibentuk dalam masa terdekat susulan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang berlangsung semalam, sekali gus mengundang persoalan siapa yang bakal mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri (PM) Malaysia Kesepuluh dalam tempoh terdekat ini.
PN pada hari ini menerima kunjungan daripada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Premier Sarawak bagi membincangkan pembentukan Kerajaan Persekutuan.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bahawa Kerajaan Persekutuan dijangka dapat dibentuk dalam masa terdekat susulan PRU-15 yang berlangsung semalam. Selain Premier Sarawak, turut hadir dalam pertemuan berkenaan ialah Presiden PAS, Tan Sri Haji Abdul Hadi Haji Awang.
“Rundingan juga sedang dibuat dengan parti lain yang sehaluan dan ahli Parlimen Bebas. Insya-Allah, Kerajaan Persekutuan akan dapat dibentuk dalam masa terdekat,” jelas beliau dalam satu kenyataan di Facebook pada hari ini.
Keputusan PRU-15 semalam menyaksikan Pakatan Harapan memperoleh 81 kerusi, Perikatan Nasional meraih 73 undi manakala Barisan Nasional mencatat 30 undi.
Sementara itu, di sebelah Borneo, GPS yang dipimpin oleh Tan Sri Abang Johari Tun Openg mendapat 22 kerusi diikuti oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memperoleh enam kerusi dan Parti Warisan Sabah dengan tiga kerusi.
Dalam perkembangan lain, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor dalam sidang media awal pagi tadi berkata bahawa GRS dan GPS pada ketika ini memuktamadkan untuk bersama-sama menyokong kerajaan yang akan memberikan kestabilan kepada Sabah dan Sarawak apabila diberikan mandat untuk memerintah kelak. Namun begitu, menurut Datuk Seri Hajiji, GRS dan GPS masih belum membuat keputusan untuk menyokong mana-mana parti untuk menjalinkan kerjasama.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi kenyataan dengan mendakwa gabungan itu telah menang dan menyatakan keyakinannya untuk membentuk kerajaan selepas menerima surat khas dari Istana Negara. Jelas beliau, gabungan itu memenangi 73 kerusi Parlimen dan akan bergabung bersama-sama parti lain kecuali PH. Jelas Tan Sri Muhyiddin, pihaknya akan berbincang bersama-sama kepimpinan parti dari Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat dan berharap agar dapat dimuktamadkan pada hari ini.
“Bagi tujuan pembentukan kerajaan, saya akan berbincang bersama-sama kepimpinan parti di Sabah dan di Sarawak pada hari ini. Demi menjamin kestabilan, PN juga mengalukan penyertaan mana-mana parti yang bersedia menerima prinsip perjuangan PN untuk membentuk sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil,” jelasnya ketika sidang media di Pusat Media Utama PN, di Shah Alam pada hari ini.
Menjelang hari pembuangan undi, beliau pernah mengeluarkan kenyataan sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan bersama-sama parti lain yang sehaluan dan tumpuan utamanya adalah untuk melaksanakan semua tawaran PN Best yang dikemukakan kepada rakyat semasa tempoh berkempen. Beliau juga berharap agar dapat mewujudkan situasi politik yang stabil apabila kerajaan dibentuk kelak.
“Dengan PN mengetuai kerajaan, kita berharap dapat mewujudkan situasi politik yang paling stabil. Hal ini bermakna kita perlu ambil kira pihak tertentu dalam parti lain jika mereka sehaluan dan bersedia untuk terima dasar-dasar yang akan diketuai oleh PN dan kita akan pertimbangkannya dengan teliti,” jelas beliau.
Ketika ditanya oleh pihak media sama ada PN akan bekerjasama dengan PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, “Tidak, tidak bersama PH”.
Antara mereka yang hadir dalam sidang media itu termasuklah beberapa orang kepimpinan tertinggi parti komponen PN yang terdiri daripada BERSATU, PAS dan Gerakan.